SAYA BUKAN WALAUN & MADANON, SIAPA YANG PATUT SAYA UNDI?




Tulisan ini khusus buat mereka yang tidak turut serta dalam debat politik tanpa kesudahan di media sosial.


Ramai di antara kita yang sudah muak dan mual dengan perbincangan politik. 


Anda tergolong di dalam kategori ini? Baca dan ikuti tips berikut.


Tips yang pertama dan maha mustahak ; undi. 


Jangan bazirkan hak anda dengan protes seperti tidak turun mengundi atau lebih dangkal, membuang undi rosak.


Suara anda layak didengari. Mengundi itu hak dan tanggungjawab sebagai seorang rakyat.


Kedua, siasat daripada sumber yang sahih yang diyakini.


Walaun kata DAP ingin merampas hak keistimewaan Melayu dan mengubah kedudukan Islam. 


Ada juga yang menambah perisa dengan mengatakan azan tidak lagi kedengaran di Pulau Pinang.


Siasat kebenaran perkara ini daripada sumber yang asli tanpa mana-mana kecenderungan politik.


Dalam konteks ini, rujuk Perlembangan Persekutuan. Anda akan dapati bahawa kedudukan Melayu dan Islam dilindungi undang-undang tertinggi negara.


Selagi kita berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit, hak ini tidak akan tergugat sama sekali.


Jadi, adakah tuduhan walaun berasas? Tidak.


Adakah azan masih kedengaran di Penang? Ya. 


Sekiranya anda merasakan penulis bukan sumber yang sahih dan diyakini, pandu ke Pulau Pinang dan dapatkan kepastian dengan telinga sendiri.


Di seberang lapangan, Madanon pula menuduh PAS tidak tahu mentadbir.


Sekiranya anda tinggal di Kelantan, Terengganu dan Kedah, buka pili air di rumah. 


Nilai sendiri warna air yang mengalir keluar dari muncung paip. Jernih, teh tarik atau langsung tidak memunculkan diri?


Buat anak jati ketiga-tiga negeri terbabit, tanyakan pada diri sendiri. Mengapa anda kini di KL, Selangor dan Pulau Pinang untuk mencari rezeki?


Yang penting, nilai dengan fakta yang absah dan bukannya melalui pembacaan ciapan di Twitter dan status di Facebook.


Tips ketiga, bezakan di antara ahli politik dengan kultus penyokong.


Tanyakan pada diri, adakah anda tidak gemar dengan politikus A atau sebenarnya anda kurang senang dengan penyokong mereka.


Anwar bukan madanon. Hadi bukan walaun.


Kenyataan yang dikeluarkan penyokong tidak semestinya menggambarkan pendirian seseorang pemimpin.


Baru-baru ini, seorang madanon mendoakan kecelakaan buat Hadi yang dimasukkan ke hospital.


Bagi pemerhati politik senyap seperti anda, sudah tentu kenyataan ini keterlaluan. Namun, Anwar tidak sewajarnya dihukum kerana tindak-tanduk si madanon itu.


Anwar sendiri mengkritik tindakan madanon tersebut secara terbuka di Twitter dan mendoakan yang baik-baik buat Hadi.


Namun ada kalanya tindakan penyokong seiring dengan kenyataan pemimpin mereka.


Contohnya, tindakan walaun yang mengambil gambar seorang jururawat tanpa izin bagi membuktikan pakaiannya ketat dan keterlaluan.


Gambar itu diapit dengan kapsyen penuh berahi.


Tindakan si walaun ini terdorong daripada hujahan Ahli Parlimen Kuantan di Parlimen yang menegur soal pakaian jururawat.


Bagi kes ini, anda tidak perlu membezakan antara pemimpin dan penyokong. Dua-dua miang, inzal dan gatal.


Apapun, keputusan di tangan anda. Saya tidak mengajak anda mengundi mana-mana pihak, saya cuma mengajak anda mengundi.


Ingat, undian anda adalah untuk si calon, bukannya walaun atau madanon.

Comments